24/12/2013

Bismilah. Kau Maha Pemurah, Kau Maha Mengasihani.
***
***
Ikhtilat, bukan sekadar kata.
Seringkali kalimah ini berlegar di telinga.
Ikhtilat oh ikhtilat, apakah dikau?
***
Ikhtilat ( الإختلاط) membawa maksud bercampur. Sudah sinonim dalam masyarakat kita, istilah ini merujuk kepada percampuran atau pergaulan antara lelaki dengan perempuan atau sebaliknya. Dalam kebanyakan kitab ulamak, istilah ini digunakan bagi menyatakan hal pergaulan bebas di antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram di suatu tempat yang membolehkan mereka berhubung antara satu sama lain dengan pandangan atau isyarat atau percakapan. Dipendekkan cerita, ikhtilat merujuk kepada pergaulan bebas.
***
Bila ditanya pada setiap individu, adakah anda menyokong pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan? Pasti, rata-ratanya berkata; “Oh tidak, pergaulan bebas tidak dibenarkan dalam IslamKita mesti menjaga ikhtilat!
Hmm. Sejauh manakah kita menjaga ikhtilat?
***
Refleks diri sejenak. Muhasabah.
Kita yang menentukan jalan. Kita yang memilih. Di hadapan kita ada banyak jalan. Ada yang mengikut jalan Islam, ada yang jelas bertentangan dengan Islam dan ada juga jalan yang bahaya, yakni jalan yang kabur, diwarnai dan dicorakkan dengan hiasan Islamik namun ralat pada alat dan matlamat.
***
Menjaga ikhtilat bukanlah tugas pada satu pihak sahaja. Tugas ini sebenarnya mesti digalas baik di pihak lelaki mahupun perempuan. Kata seorang sahabat, dalam menjaga ikhtilat, andai lelaki sudah menjaga, wanita pula perlu berjaga-jaga.
Kata Ustazah Fatimah Syarha dalam bukunya Cintaku Selepas Allah dan Rasul, pintu yang membuka kepada pergaulan ini perlu ditutup serapat-rapatnya, walaupun atas nama persatuan Islam. Mengamati kata-kata ini, baik dari sekecil-kecil organisasi termasuklah organisasi kelas, jiran tetangga, bahkan jawatankuasa mesyuarat tingkap; hatta sebesar-besar institusi atau persatuan sekalipun, andai tiada perkara mustahak, adalah lebih baik untuk kita menjaga dan berjaga-jaga.
***
Habis tu, tak boleh nak cakap langsung lah dengan dorang?
Hm. Camni. Islam tidak menghalang muamalah antara lelaki dengan perempuan yang bukan mahram. Cumanya, Islam menghadkan muamalah tersebut, supaya tidak terjerumus ke kancah yang lebih dahsyat, yakni zina.
“Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang buruk.” (al-Israa’ : 32)
Tidaklah disebut dengan terperinci di dalam al-Quran bahawa zina itu hanyalah melibatkan kemaluan semata-mata. Dalam ayat tersebut, telah dinyatakan satu larangan yang jelas bahawa janganlah kita mendekati zina. Zina boleh bermula dari apa jua cara, baik dari mata (melihat wanita / lelaki ajnabi tanpa hak), telinga dan lidah (berbicara mengenai perkara yang tidak sepatutnya), hidung (memakai bau-bauan yang berlebihan) dan sebagainya. 
Andai mendekati zina sudah jelas ditegah, apatah lagi melakukannya?
***
Alternatif.
Andai sebelum ini kita sering meluahkan rasa resah dan ‘bertanyakan khabar’ kepada perempuan / lelaki yang ajnabi, apa kata kita halakan rasa sayang tersebut kepada yang lebih berhak, misalnya kepada ibu bapa atau sahabatseperjuangan (sejantina) yang sudah lama kita tak bersua.
Tidaklah salah untuk menyatakan rasa sayang kepada sahabat lama, bertanyakan kesihatan mereka, keselamatan dan macam-macam hal lagi. Bahkan, hubungan kasih sayang antara lelaki dengan lelaki atau perempuan dengan perempuan kerana Allah adalah antara perkara yang paling dibenci oleh syaitan.
Jadi yang demikian, adakah kita masih selesa bergaul mesra, andai diri terpalit dosa?
***
Menjaga ikhtilat seumpama menjaga hati. Jagalah hati untuk yang berhak. Sekiranya mahu yang terbaik, jadilah juga yang terbaik.
(Lazimnya) perempuan-perempuan yang jahat adalah untuk lelaki-lelaki yang jahat dan lelaki-lelaki yang jahat untuk perempuan-perempuan yang jahat; dan (sebaliknya) perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik, dan lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik. Mereka (yang baik) itu adalah bersih dari (tuduhan buruk) yang dikatakan oleh orang-orang (yang jahat); mereka (yang baik) itu akan beroleh pengampunan (dari Allah) dan pengurniaan yang mulia. (An-Nur: 26)
***



Jangan menilai seseorang berdasarkan masa silam, tetapi lihatnya dia pada hari ini. Semua orang mampu berubah. Malah jauh lebih baik dari kita jangkakan. 

"Daripada Anas bin Malik Radhiallahu 'anhu telah berkata : Aku mendengar Rassulullah S.A.W bersabda : Sesungguhnya Allah berfirman (maksud) : Wahai anak Adam! Apabila engkau memohon dan mengharapkan pertolonganKu maka Aku akan mengampunimu dan Aku tidak menganggap bahawa ia suatu yang bebanan. Wahai anak Adam! Sekalipun dosa kamu seperti awan meliputi langit kemudian kamu memohon keampunanKu, nescaya Aku akan mengampuninya. Wahai anak Adam! Jika kamu menemuiku(selepas mati) dengan kesalahan sebesar bumi, kemudiannya kamu menemuiKu dalam keadaan tidak syirik kepadaKu dengan sesuatu nescaya Aku akan datang kepadamu dengan pengampunan terhadap dosa sebesar bumi itu."
   (Riwayat imam Tarmizi dan kata beliau ia adalah hadis Hasan Sohih)

Hidayah itu milik Allah, Dia akan beri pada sesiapa saja dan pada bila-bila masa yang dikehendakiNya

Kita juga jangan lupa, Allah itu maha pembolak-balik hati. Kita tidak tahu kedudukan kita esok atau lusa. Mungkin hari ini kita nampak jauh lebih beriman tetapi jika terpalit riak dan sombong, tidak mustahil kita akan tersesat jalan. Begitu juga jika kita melihat kemungkaran insan lain, mungkin hari ini dia nampak jahil tetapi siapa tahu dia sedar suatu masa sehingga menjadi insan yang lebih baik dari kita.

Mari kita lihat pesanan Al-Hafizh Ibnu Hibban, "Yang harus dilakukan setiap orang berakal adalah mencari keselamatan, tanpa mencari-cari aib orang lain, sambil meluruskan aib dirinya sendiri. Sebab siapa yang dapat melihat dan memperbaiki aib dirinya tanpa mencari-cari aib orang lain, bererti dia telah mententeramkan dirinya dan tidak membebani hatinya. Selagi dia melihat aib dirinya, tentu dia tidak nampak jika melihat aib serupa pada diri saudaranya."

Sedangkan aib sendiripun Allah larang kita mededahkannya, inikan pula aib orang lain. 

"Jauhilah perkara-perkara keji yang telah dilarang oleh Allah, sesiapa yang telah melakukannya, hendaklah dia menutupinya dengan tutupan Allah dan bertaubat kepada Allah. Ini kerana jika sesiapa menampakkan perkara keji (yang dilakukannya) kepada kami, kami akan menjatuhkan hukuman yang telah diperintahkan oleh Allah Azza wa Jalla. (Dikeluarkan oleh al-Hakim dalam al-Mustadrak, hadis no: 7615, disahihkan dengan syarat Bukhari dan Muslim)

Bersangka baik itu juga satu ibadah. Bukankah kita orang yang solat ? dan solat itu perisai bagi orang yang beriman ? (^_^)

24/05/2013

بِسۡـــــــــمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡـمَـٰنِ ٱلرَّحِـــــــيمِ

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّد وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ


.
Setiap hari dalam Islam mempunyai kelebihan masing-masing. Di antara 7 hari yang ada dalam setiap minggu itu juga, kaum Yahudi berbangga dengan hari Sabtunya dan penganut Kristian pula meraikan hari Ahadnya, maka Umat Islam sudah tentu memiliki hari kebesarannya tersendiri dan amat menghargai dengan Kemuliaan Hari Jumaat sebagai‘Penghulu Segala Hari’.
.
Dalam riwayat lain dari Hudzaifah Radhiyallahu ‘anhu dengan lafaz;

أَضَلَّ اللهُ عَنِ الْجُمُعَةِ مَنْ كَانَ قَبْلَنَا، فَكَانَ لِلْيَهُوْدِ يَوْمُ السَّبْتِ وَكَانَ لِلنَّصَارَى يَوْمُ اْلأَحَدِ، فَجَاءَ اللهُ بِنَا فَهَدَانَا اللهُ لِيَوْمِ الْجُمُعَةِ فَجَعَلَ الْجُمُعَةَ وَالسَّبْتَ وَاْلأَحَدَ، وَكَذَلِكَ هُمْ تَبَعٌ لَنَا يَوْمَ الْقِيَامَةِ، نَحْنُ اْلآخِرُوْنَ مِنْ أَهْلِ الدُّنْيَا وَاْلأَوَّلُوْنَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ الْمَقْضِيَّ لَهُمْ قَبْلَ الْخَلاَئِقِ.

“Allah telah menyesatkan orang-orang sebelum kita dari hari Jumaat, maka umat Yahudi memperoleh hari Sabtu, umat Nasrani memperoleh hari Ahad. Lalu Allah mendatangkan kita dan memberi kita hidayah untuk memperoleh hari Jumaat. Maka Allah menjadikan hari Jumaat, Sabtu dan Ahad, dan mereka (umat sebelum kita) berada di belakang kita pada hari kiamat. Kita datang paling akhir di dunia, tetapi paling awal datang di hari kiamat yang telah ditetapkan untuk mereka sebelum diciptakan seluruh makhluk.” (Hadis Riwayat  Muslim r.a.)
.
Sebagaimana Allah SWT telah menjadikan kota Makkah dan Madinah sebagai kota Suci; menjadikan Masjidil Haram, Masjid Nabawi dan Masjidil Aqsa sebagai masjid yang paling utama; menjadikan bulan Ramadhan sebagai bulan paling mulia di antara bulan-bulan lainnya, menjadikan malam Lailatul Qadar sebagai malam Seribu bulan; menjadikan sepertiga malam sebagai waktu paling berkesan untuk mendekatkan diri kepada Yang Maha Khaliq; begitu juga hari Jumaat, Allah SWT telah menjadikan Hari Jumaat sebagai‘Sayyidul Ayyam’ atau penghulu segala hari (hari paling utama). Terdapat banyak kebaikan dan kelebihan pada hari ini termasuklah Solat Jumaat.
.
Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda: “Hari paling baik di mana matahari terbit pada hari itu adalah hari Jumaat, pada hari itu Adam Alaihissallam diciptakan, dan pada hari itu pula Adam dimasukkan ke dalam syurga, serta diturunkan dari syurga, pada hari itu juga kiamat akan terjadi pada hari tersebut terdapat suatu waktu di mana tidaklah seorang mukmin solat menghadap Allah mengharapkan kebaikan kecuali Allah akan mengabulkan permintaannya.” (HR. Muslim)
.
.

Keutamaan Hari Jumaat

.
Hari Jumaat merupakan hari yang amat istimewa bagi kaum Muslimin. Hari Jumaat mempunyai banyak kelebihan dan keutamaan yang disediakan oleh Allah SWT kepada hamba-hambaNya.
.
.

1.  Hari Paling Mulia

Hari Jumaat adalah hari yang paling utama dan merupakan penghulu segala hari. Terdapat beberapa peristiwa yang terjadi pada hari Jumaat ini, di antaranya:
.
  • Allah SWT ciptakan Adam Alaihissallam
  • Nabi Adam alaihissallam dimasukkan ke dalam syurga.
  • Nabi Adam alaihissallam diturunkan dari syurga menuju bumi.
  • Allah mewafatkannya Nabi Adam Alaihissallam.
  • Hari Jumaat juga merupakan hari akan berlakunya Qiamat.
.
Dari Abu Hurairah Radhiyallahu ‘anhu bahawa Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda: “Hari paling baik di mana matahari terbit pada hari itu adalah hari Jumaat. Pada hari itu Adam diciptakan, dan pada hari itu juga Adam dimasukkan ke dalam syurga, serta diturunkan dari syurga. Pada hari itu juga kiamat akan terjadi dan pada hari tersebut terdapat suatu waktu dimana tidaklah seorang mukmin solat menghadap Allah mengharapkan kebaikan kecuali Allah akan mengabulkan permintannya.” (HR. Muslim)
.
Abu Hurairah Radhiyalahu ‘anhu meriwayatkan, bahawa Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda;

خَيْرُ يَوْمٍ طَلَعَتْ عَلَيْهِ الشَّمْسُ يَوْمُ الْجُمُعَةِ، فِيْهِ خُلِقَ آدَمُ، وَفِيْهِ أُدْخِلَ الْجَنَّةَ، وَفِيْهِ أُخْرِجَ مِنْهَا، وَلاَ تَقَوْمُ السَّاعَةُ إِلاَّ فِي يَوْمِ الْجُمُعَة

“Sebaik-baik hari yang matahari terbit padanya adalah hari Jumaat; pada hari inilah Adam Alaihissalam diciptakan, pada hari ini (Adam Alaihissalam) dimasukkan ke dalam syurga, dan pada hari inilah juga Baginda dikeluarkan dari syurga. Dan tidaklah kiamat akan terjadi kecuali pada hari ini.” (HR Muslim r.a.)
.
Dalam riwayat Aus bin Aus Radhiyallahu ‘anhu pula menyatakan:

إِنَّ مِنْ أَفْضَلِ أَيَّامِكُمْ يَوْمُ الْجُمُعَةِ، فِيْهِ خُلِقَ آدَمُ، وَفِيْهِ قُبِضَ، وَفِيْهِ النَّفْخَةُ، وَفِيْهِ الصَّعِقَةُ …….

“Sesungguhnya seutama-utama hari kamu adalah hari Jumaat; pada hari ini Adam Alaihissalam diciptakan, pada hari ini juga ia dimatikan, pada hari ini ditiupkan sangkakala (tanda kiamat), dan pada hari ini juga hari kebangkitan.”
.
.

2.  Hari Bagi Kaum Muslimin

.
Hari Jumaat adalah hari berkumpulnya Umat Muhammad صلى الله عليه وسلم dalam masjid-masjid mereka yang besar untuk mengikuti solat dan sebelumnya mendengarkan dua khutbah jumaat yang mengandungi wasiat bertaqwa dan nasihat-nasihat, serta doa.
.
Dari Kuzhaifah dan Rabii bin Harrasy Radhiyallahu Anhuma bahawa Rasulullah صلى الله عليه وسلم berkata, “Allah menyesatkan orang-orang sebelum kami pada hari Jumaat, Yahudi pada hari Sabtu, dan Nasrani pada hari Ahad, kemudian Allah mendatangkan kami dan ember petunjuk pada hari Jumaat, mereka umat sebelum kami akan menjadi pengikut pada hari kiamat, kami adalah yang terakhir dari penghuni dunia ini dan yang pertama pada hari kiamat yang akan dihakimi sebelum umat yang lain.” (HR. Muslim dan Ibnu Majah)
.
Al-Hafidz Ibnu Katsir berkata: “Hari ini dinamakan Jumaat, kerana merupakan ambilan dari kata ‘al-jamu’ yang ertinya berhimpun, kerana Umat Islam berkumpul pada hari itu setiap minggu di masjid-masjid. Allah SWT memerintahkan hamba-hamba-Nya yang mukmin berkumpul untuk menunaikan ibadah kepada-Nya.”
.
Allah SWT berfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِيَ لِلصَّلَاةِ مِن يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَىٰ ذِكْرِ‌ اللَّـهِ وَذَرُ‌وا الْبَيْعَ ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ‌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ ﴿٩

“Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diseru untuk menunaikan solat pada hari Jumaat, maka bersegeralah kamu kepada mengingat Allah dan tinggalkanlah jual beli; Yang demikian itu lebih baik bagimu Jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya).” (Surah Al-Jumaah 62: Ayat 9)
.
.

3.  Penghulu Segala Hari

.
Hari Jumaat adalah hari yang teramat istimewa kerana Islam meletakkan Jumaat sebagai ketua dan ganjarannya lebih berbanding hari-hari yang lain.
Dalam suatu hadis Rasulullah صلى الله عليه وسلم yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah: “Jumaat dinamakan sebagai ‘Saidul aiyam’ iaitu penghulu segala hari (sebaik-baik hari).”
.
Dari Abu Lubabah bin Ibnu Mundzir Radhiyallahu Anhu berkata, Rasulullahصلى الله عليه وسلمberkata, “Hari Jumaat adalah penghulu segala hari dan hari yang paling mulia di sisi Allah. Hari Jumaat ini lebih mulia dari hari raya Aidilfitri dan Aidiladha di sisi Allah. Pada hari Jumaat terdapat lima peristiwa; Diciptakannya Adam dan diturunkannya ke bumi, pada hari Jumaat Adam dimatikan, di hari Jumaat juga terdapat waktu yang mana jika seseorang meminta kepada Allah maka akan dikabulkan selagi tidak memohon yang haram, dan di hari Jumaat juga akan berlakunya kiamat. Tidaklah seseorang Malaikat yang dekat di sisi Allah SWT, di bumi dan di langit kecuali dia dikasihi pada hari Jumaat.” (HR. Ahmad)
.
.

4.  Hari Kebesaran Mingguan

.
Dalam 7 hari yang ada, hari Jumaat adalah ‘Hari Besar’ yang berulang setiap minggu.
Ibnu Abbas Radhiyallahu ‘anhu berkata, Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda: “Hari ini adalah hari besar yang Allah tetapkan bagi Umat Islam, maka siapa yang hendak menghadiri soalat Jumaat hendaklah mandi terlebih dahulu.” (HR. Ibnu Majah)
.
.

5.  Hari Perhimpunan Bagi Solat Jumaat

.
Solat Jumaat dua rakaat yang difardhukan ke atas umat Islam membuktikan hari itu adalah semulia hari yang perlu ambil manfaat untuk mendapatkan ganjaran Allah SWT daripada setiap amal ibadat yang dilaksanakan.
Rasulullah  صلى الله عليه وسلمbersabda: “Sesiapa hadir solat Jumaat pada saat pertama, dia umpama berkorban seekor unta; Sesiapa hadir solat Jumaat pada saat kedua, dia seperti berkorban seekor lembu; Sesiapa yang menghadiri solat Jumaat pada saat yang ketiga, dia seperti berkorban seekor kibas; Sesiapa hadir solat Jumaat pada saat keempat, dia seperti memberi hadiah seekor ibu ayam, dan Sesiapa hadir solat pada saat kelima, dia seolah-olah memberi hadiah sebiji telur.”
.
.

6.  Hari Ramai Malaikat Turun ke Bumi

 .
Pada hari Jumaat juga, Allah SWT mengutus para malaikat turun ke muka bumi. Di tangan terdapat mereka tinta kalam emas dan kertas-kertas daripada perak, mereka juga berdiri dan menunggu di pintu-pintu masjid bagi mencatat nama-nama mereka yang hadir ke masjiddan mendirikan Solat Jumaat.
Apabila telah sempurna dan selesai Solat Jumaat, mereka kembali ke araysh untuk menyembahkan hasil catatannya kepada Allah SWT dengan berkata: “Wahai Tuhan kami, kami telah catatkan nama mereka yang masuk masjid dan menunaikan Jumaat.”
Allah SWT berfirman: “Wahai Malaikat-Ku, demi kemuliaan dan kebesaran-Ku, sesungguhnya Aku telah ampunkan mereka, tidak berdosa sedikit pun.”
.
.

7.  Hari Mustajab Berdoa

.
Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda: “Pada hari itu terdapat suatu masa di mana seorang hamba Mukmin apabila meminta (berdoa) kepada Allah SWT sesuatu kebaikan, melainkan Allah SWT memakbulkan doanya atau ia meminta Allah SWT melindunginya daripada sesuatu kejahatan, melainkan Allah melindunginya daripada kejahatan.” (Hadis riwayat Tarmizi).
.
Hari Jumaat adalah masa yang mustajab untuk berdoa terutama pada dua waktu terbaik iaitu di antara:
a.     Imam duduk di atas mimbar sehingga solat selesai Jumaat.
b.     Pada akhir waktu Asar.

Ibnu Qayyim Al-Jauzi mengatakan: “Di antara sekian banyak pendapat ada dua yang paling kuat, sebagaimana ditunjukkan dalam banyak hadis  yang sahih, pertama saat duduknya khatib sampai selesainya solat. Kedua, sesudah Asar, dan ini adalah pendapat yang terkuat dari dua pendapat tadi.”  (Zadul Ma’ad Jilid I/389-390).
.
Keterangan lanjut :-
‘Masa-masa Mustajab Berdoa di Hari Jumaat’ ~ (Klik Di Sini)
 .
.

8.  Hari Dihapuskan Dosa

.
Diampuni dosa-dosanya antara Jumaat tersebut dengan Jumaat sebelumnya. Sabda Rasulullah صلى الله عليه وسلم : “Solat lima waktu (sehari semalam) dan Jumaat hingga Jumaat merupakan penebus-penebus dosa (ketika itu) selama tidak dikerjakan dosa-dosa besar” (Riwayat Muslim)
.
Dari Salman Al-Farisi Radhiyallahu Anhu mengatakan bahawa Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda: “Tidaklah seseorang mandi pada hari Jumaat dan bersuci semampunya, berminyak dengan minyak, atau memakaikan minyak wangi dari rumahnya, kemudian keluar (menuju masjid), dan dia tidak memisahkan dua orang (yang sedang duduk berdampingan), kemudian dia hendak mendirikan solat yang sesuai dengan tuntutannya, lalu diam mendengarkan (dengan seksama) ketika imam berkhutbah melainkan akan diampuni (Dosa dosanya yang terjadi) antara Jumaat tersebut dan Jumaat berikutnya.” (HR. Bukhari)
.
Salman Al Farisi berkata lagi, Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda: “Sesiapa yang mandi pada hari Jumaat, bersuci sesuai kemampuan, merapikan rambutnya, memakai minyak wangi, lalu berangkat ke masjid, dan masuk masjid tanpa melangkahi sesiapa, kemudian solat sesuai tuntunan dan diam tatkala imam berkhutbah, nescaya diampuni dosa-dosanya di antara dua Jumaat.” (HR. Bukhari).
.
.

9.  Hari Lebih Utama Bersedekah

.
Sedekah pada hari itu lebih utama dibanding sedekah pada hari-hari lainnya.
Ibnu Qayyim berkata: “Sedekah pada hari itu lebih utama dengan sedekah pada enam hari lainnya seumpama di sedekah pada bulan Ramadhan dibanding bulan-bulan lainnya.” .
Hadis  dari Ka’ab menjelaskan: “Dan Sedekah pada hari itu lebih mulia dibanding hari-hari selainnya.” (Mauquf Shahih)
.
.

10.  Hari Meraih Pahala

.
Orang yang hadir dan menunaikan kewajibannya untuk solat Jumaat akan mendapat pahala untuk setiap langkahnya ke Masjid, setara dengan pahala ibadah satu tahun solat dan puasa.
Aus bin Aus berkata: Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda: “Sesiapa yang mandi pada hari Jumaat, kemudian bersegera berangkat menuju masjid, dan menempati shaf hadapan kemudian dia berdiam, maka setiap langkah yang dia ayunkan mendapat pahala puasa dan solat selama satu tahun, dan itu adalah hal yang mudah bagi Allah.” (HR. Ahmad dan Ashabus Sunan, Didakwa sahih oleh Ibnu Huzaimah).
.
.

11.  Hari Hidayah Daripada Allah SWT

.
Hari Jumaat merupakan keistimewaan dan hidayah yang Allah SWT berikan kepada umat Islam yang tidak diberikan kepada umat-umat lain sebelumnya.
Abu Hurairah meriwayatkan bahwa Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda;

نَحْنُ اْلآخِرُوْنَ اْلأَوَّلُوْنَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَنَحْنُ أَوَّلُ مَنْ يَدْخُلُ الْجَنَّةَ بَيْدَ أَنَّهُمْ أُوْتُوا الْكِتَابَ مِنْ قَبْلِنَا وَأُوْتِيْنَاهُ مِنْ بَعْدِهِمْ فَاخْتَلَفُوْا فَهَدَانَا اللهُ لِمَا اخْتَلَفُوْا فِيهِ مِنَ الْحَقِّ، فَهَذَا يَوْمُهُمُ الَّذِيْ اخْتَلَفُوْا فِيْهِ هَدَانَا اللهُ لَهُ –قَالَ: يَوْمُ الْجُمْعَةِ-، فَالْيَوْمُ لَنَا وَغَداً لِلْيَهُوْدِ وَبَعْدَ غَدٍ لِلنَّصَارَى.

“Kita adalah umat yang terakhir muncul tapi paling awal tiba pada hari kiamat, dan kita yang pertama kali masuk syurga, cuma mereka diberi Kitab sebelum kita sedangkan kita diberi Kitab setelah mereka. Kemudian mereka berselisih, lalu Allah memberi kita hidayah terhadap apa yang mereka perselisihkan. Inilah hari yang mereka perselisihkan, dan Allah berikan hidayah berupa hari ini kepada kita (Nabi صلى الله عليه وسلم menyebut hari Jumaat). Maka hari (Jumaat) ini untuk kita (umat Islam), besok (Sabtu) untuk umat Yahudi dan lusa (Ahad) untuk umat Nasrani.” (HR Muslim r.a.)
.
Dalam riwayat lain dari Hudzaifah Radhiyallahu ‘anhu dengan lafaz;

أَضَلَّ اللهُ عَنِ الْجُمُعَةِ مَنْ كَانَ قَبْلَنَا، فَكَانَ لِلْيَهُوْدِ يَوْمُ السَّبْتِ وَكَانَ لِلنَّصَارَى يَوْمُ اْلأَحَدِ، فَجَاءَ اللهُ بِنَا فَهَدَانَا اللهُ لِيَوْمِ الْجُمُعَةِ فَجَعَلَ الْجُمُعَةَ وَالسَّبْتَ وَاْلأَحَدَ، وَكَذَلِكَ هُمْ تَبَعٌ لَنَا يَوْمَ الْقِيَامَةِ، نَحْنُ اْلآخِرُوْنَ مِنْ أَهْلِ الدُّنْيَا وَاْلأَوَّلُوْنَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ الْمَقْضِيَّ لَهُمْ قَبْلَ الْخَلاَئِقِ.

“Allah telah menyesatkan orang-orang sebelum kita dari hari Jumaat, maka umat Yahudi memperoleh hari Sabtu, umat Nasrani memperoleh hari Ahad. Lalu Allah mendatangkan kita dan memberi kita hidayah untuk memperoleh hari Jumaat. Maka Allah menjadikan hari Jumaat, Sabtu dan Ahad, dan mereka (umat sebelum kita) berada di belakang kita pada hari kiamat. Kita datang paling akhir di dunia, tetapi paling awal datang di hari kiamat yang telah ditetapkan untuk mereka sebelum diciptakan seluruh makhluk.” (Hadis Riwayat  Muslim r.a.)
.
.

12.  Meninggal Pada Hari Jumaat Sebagai Tanda ‘Husnul Khatimah’

.
Meninggal dunia pada malam hari Jumaat atau siangnya adalah penanda ‘Husnul Khatimah’, iaitu dibebaskan dari fitnah (azab) kubur.
.
Diriwayatkan oleh Ibnu Amru, bahawa Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda: “Setiap muslim yang mati pada siang hari Jumaat atau malamnya, nescaya Allah akan menyelamatkannya dari fitnah kubur.” (HR. Ahmad dan Tirmizi, undian sahih oleh Al-Bani).
.
.

13.  Hari Terselamat Dari Seksa Kubur

.
Orang yang meninggal pada Hari Jumaat, InsyaAllah akan selamat dari fitnah (bencana/seksa) kubur.
Daripada Abdullah bin Amr, sabda Rasulullah صلى الله عليه وسلم: “Tidak seorang Muslim yang mati pada hari Jumaat atau pun malam Jumaat, melainkan diselamatkan Allah  SWT daripada fitnah kubur.” (Hadis Riwayat Tarmizi)
.
.

14.  Hari Berlakunya Qiamat

.
Jumaat merupakan hari yang selalu dikaitkan dengan berlakunya ‘Qiamat’ (hari pembalasan). Dalam suatu hadis, Rasulullah صلى الله عليه وسلم ada menyebut bahawa: “Pada hari Jumaat juga Qiamat akan berlaku. Pada hari itu tidaklah seorang yang beriman meminta sesuatu daripada Allah melainkan akan dikabulkan permintaannya.” (Hadis Riwayat Muslim r.a.)
 .
Dalam hadis lain, Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda : “Hari Yang Dijanjikan ialah Hari Qiamat. Hari Yang Disaksikan ialah Hari Arafah, dan Hari Yang Menyaksikan ialah Hari Jumaat. Matahari tidak terbit dan tidak terbenam pada mana-mana hari yang lebih mulia dan afdal daripada hari Jumaat.”
 .
Sabda Rasulullah صلى الله عليه وسلم.: “Pada hari itu Qiamat akan terjadi dan tidaklah seorang pun malaikat muqarrabun pun di sisi Allah Azzawajalla melainkan ia takut pada hari Jumaat, (tetapi) tidak langit dan tidak bumi melainkan ia merasa kasih pada hari Jumaat.” (Hadis Riwayat  Ibnu Majah dan  Al-Baihaqi)
.
.

15.  Hari Dapat Melihat Allah SWT Di Syurga

.
Hari tatkala Allah SWT menampakkan diri kepada hamba-Nya yang beriman di syurga.
Firman Allah SWT;
وَلَدَيْنَا مَزِيدٌ ﴿٣٥
“Dan di sisi Kami ada lagi tambahan (limpah kurnia yang tidak terlintas di hati mereka).”
(Surah Al-Jumuaah 50; Ayat 35)
Seorang sahabat, Anas bin Malik dalam mengulas ayat 35 di atas : “‘Dan Kami memiliki pertambahannya’; Beliau mengatakan; Allah SWT menampakkan diri kepada mereka setiap Hari Jumaat.”
.
#*
Semoga Hari Jumaat ini menjadikan kita insan yang lebih Bertaqwa, lebih Berhikmah, lebih Berjaya Dan Lebih Cemerlang di dunia & akhirat. Jadi, marilah sama-sama kita berdoa agar Allah SWT memilih kita di kalangan golongan yang diberikan kelebihan oleh Allah SWT.
.
.
والله أعلم بالصواب
Wallahu A’lam Bish Shawab
 (Hanya Allah Maha Mengetahui apa yang benar)

01/02/2013



Setiap manusia dilahirkan mempunyai masalah. Pelbagai persoalan muncul di depan mata, seakan tiada habisnya. Lebih daripada itu, masalah itu semakin menenggelamkan manusia pada penderitaan yang tidak berkesudahan.
Ramai di antara mereka yang berputus asa. Perintah solat mula ditinggalkan, bersedekah apatah lagi. Bahkan ironinya, ada yang pergi ke tok bomoh, mencuri, menjual diri dan pelbagai bentuk kejahatan lain yang dianggap sebagai solusi untuk menyelesaikan krisis yang melanda diri mereka.
Hidup pun tiada terasa indahnya lagi. Lihat ke kanan masalah, ke kiri masalah, atas dan bawah pun masalah yang seakan-akan datang menghimpit seluruh jiwa dan raga.
Lalu apa yang patut kita lakukan ketika ini? Adakah kita hanya bersembunyi di balik masalah ini? Menjerumuskan diri pada bentuk maksiat yang menjanjikan keuntungan besar dalam masa singkat? Minum minuman keras yang dapat melupakan masalah kita dalam masa sementara? Atau bunuh diri agar masalah yang dihadapi selesai setelah kita mati?
Semua perkara di atas amat mudah terlintas dalam fikiran manusia kerana pada prinsipnya manusia sangat mudah berputus asa. Alangkah meruginya kita kalau fikiran-fikiran seumpama ini kita ikuti.
Koreksi Diri Sentiasa
Di saat manusia ditimpa pelbagai musibah dan masalah, tindakan bijak yang perlu kita lakukan adalah memuhasabah hubungan kita dengan Allah swt. Salah satu bentuk komunikasi yang perlu kita lakukan adalah berdoa.
Doa hakikatnya adalah penuntun kita untuk melakukan perubahan diri. Hidup kita bukanlah sestatis laut mati. Ia sentiasa bergerak dan berubah dari masa ke semasa. Banyak cabaran yang perlu kita hadapi setiap hari. Melalui musibah inilah, Allah akan melihat siapa hamba-Nya yang sebenarnya. Siapakah hamba-Nya yang bagus kualiti peribadinya? Siapakah hamba-Nya yang mahu melakukan perubahan? Dan perubahan inilah yang menjadi esensi dari doa yang kita panjatkan.
Ibnu Ata'illah menukilkan sesuatu yang amat berharga dalam kitabnya al-Hikam :
"Bagaimana engkau menginginkan sesuatu yang luar biasa padahal engkau sendiri tidak merubah dirimu dari kebiasaanmu? Kita banyak meminta dan banyak berharap kepada Allah swt, tetapi kerana sibuk meminta terkadang membuat kita tidak sempat menilai diri sendiri. Padahal kalau kita meminta dan akibatnya kita merubah diri sendiri, Allah akan memberikan apa yang kita minta kerana sebenarnya doa itu adalah pengiring agar kita dapat merubah diri kita. Jika kita tidak pernah mahu merubah diri kita menjadi lebih baik, tentu ada yang salah dengan permintaan kita."

Berdoa berjuta sekalipun, kalau kita tidak melakukan perubahan diri, ianya tidak akan berubah kerana sememangnya itulah ketetapan-Nya. Kekuatan seseorang untuk merubah dirinya dapat menjadi salah satu faktor yang menentukan kejayaan seseorang. Jika hidup selalu ditimpa musibah, hutang tidak pernah terlansaikan, pelajaran pun tidak dapat diikuti dengan baik, jelas itu menunjukkan ada yang tidak kena dengan diri kita.
Adakah semua ini kerana Allah tidak memakbulkan doa kita? Cubalah kita muhasabah diri. Tinggalkan kebiasaan-kebiasaan buruk yang selama ini sebati dengan diri kita. Tingkatkan kualiti dan kuantiti ibadah kita. Jika dulu kita orang yang panas baran, cubalah perbaiki sifat ini dengan mengingat-ingat akibat yang akan berlaku jika kita selalu marah kepada orang lain hatta masalah sekecil manapun.
Firman Allah dalam surah al-Ra'd ayat 11 yang bermaksud:
"Sesungguhnya Allah tidak merubah nasib suatu kaum sehingga dia sendiri yang merubahnya"
Allah sendiri telah menjamin akan mengabulkan doa setiap hamba-Nya sebagaimana termaktub dalam surah al-Baqarah ayat 186 yang bermaksud :
"Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, Maka (jawablah), bahawasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku. Maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku agar mereka selalu berada dalam kebenaran."
Oleh itu kita kena muhasabah diri. Lihatlah kekurangan yang ada pada diri kita. Jika kita inginkan kejayaan dalam peperiksaan, tapi tidak meningkatkan usaha dalam mengulang kaji pelajaran, jangan salahkan sesiapapun jika kita gagal kelak.
Doa yang kita panjatkan kepada Allah swt ibarat tanaman. Kekuatan kita untuk mahu berubah adalah benihnya. Manakala doa itu sendiri adalah bajanya. Baja akan membuat benih tumbuh, berbuah banyak dan berdaun lebat. Akan tetapi, jika kita hanya menebar baja tanpa sedikitpun benih yang kita tanam, apa yang akan tumbuh?
Jika doa semakin bagus, ini menunjukkan bahawa perubahan telah terjadi dalam diri kita secara perlahan-lahan. Jika kita meminta tiada henti, dalam masa yang sama kita pun bermaksiat, jangan salahkan siapapun kerana doa seperti ini ibarat gema kosong yang hanya memantulkan suara sahaja.
Demikianlah formulanya yang sangat sederhana. Siapapun yang ingin doanya dimakbulkan oleh Allah, jangan perhatikan apa yang kita minta, tetapi perhatikanlah apa yang dapat kita rubah dari diri kita sendiri. Misalnya, hidup kita sentiasa ditimpa masalah, hutang keliling pinggang dan sebelumnya jarang ke masjid dan mengikuti tazkirah agama. Mulailah dari sekarang, jika terlintas dalam fikiran kita
"Takkan lah saya ke masjid supaya Allah langsaikan hutang saya?". Cuba alihkan fikiran seumpama ini

"Mengapa saya harus malu diundang oleh Allah ke rumah-Nya? Mudah-mudahan setelah hutang saya langsai, saya akan lebih rajin lagi ke masjid."
Doa Tidak Dimakbulkan
Kadang kita berburuk sangka dengan Allah tanpa kita menyedarinya. Sudah banyak kali kita berdoa. Tapi mengapa doa kita tidak kunjung dimakbulkan. Tak kan Allah tidak dengar doa kita sedangkan Allah Maha Mendengar. Mungkin ada yang salah dengan doa kita.
Doa kita tidak akan dimakbulkan jika minda kita tidak percaya apa yang kita minta. Doa kita tidak akan dimakbulkan jika hati kita tidak rasa apa yang kita minta. Doa kita tidak akan dimakbulkan jika komitmen kita tidak dijalankan dengan sepenuhnya.
Apa yang kita minta, apa yang kita fikir, apa yang kita rasa, dan apa tindakan yang kita lakukan, disitulah kunci makbul. Itulah sunnatullah. Ada sebab, ada akibatnya.
Jika kita minta dengan jelas, seiring dengan apa yang kita rasa, apa yang kita fikirkan, dan komitmen dengan tindakan yang kita lakukan, ianya akan membuka pintu rezeki atau peluang seperti yang kita kehendaki. Kadang-kadang peluang itu datang daripada sumber yang tidak disangka-sangka.
"Dan dia memberi rezeki kepadanya dari arah yang dia tidak menjangkakan. Dan sesiapa mempercayakan (tawakkal) kepada Allah, Dia akan mencukupnya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan-Nya. Sesungguhnya Allah mengadakan ukuran bagi segala sesuatu."
(Surah at-Talaq ayat  2-3)
Teringat pada satu kisah penduduk Basra yang pada masa itu sedang dilanda masalah sosial. Kebetulan mereka didatangi oleh ulama besar yang bernama Ibrahim bin Adham. Penduduk Basra pun mengadukan nasibnya kepada Ibrahim bin Adham.
"Wahai Abu Ishak (gelaran Ibrahim bin Adham), Allah berfirman dalam al-Qur'an agar kami berdoa. Kami penduduk Basra sudah bertahun-tahun berdoa, tetapi mengapa doa kami tidak dimakbulkan Allah?".
Ibrahim bin Adham menjawab, "Wahai penduduk Basra, kerana hati kalian telah mati dalam sepuluh perkara. Bagaimana mungkin doa kalian akan dimakbulkan oleh Allah?".
1. Kalian mengakui kekuasaan Allah, tetapi kalian tidak memenuhi hak-hak-Nya.
2. Setiap hari kalian membaca al-Qur'an, tetapi kalian tidak mengamalkan isinya.
3. Kalian selalu mengaku cinta kepada Rasul, tetapi kalian meninggalkan sunnahnya.
4. Setiap hari kalian membaca ta'awuz, berlindung kepada Allah dari syaitan yang kalian sebut sebagai musuh, tetapi setiap hari pula kalian memberi makan syaitan dan mengikut langkahnya.
5. Kalian selalu mengatakan ingin masuk syurga, tetapi perbuatan kalian justeru bertentangan dengan keinginan itu.
6. Kalian takut masuk neraka, tetapi kalian justeru mencampakkan diri kalian sendiri ke dalamnya.
7. Kalian mengakui bahawa maut adalah satu kepastian, tetapi pada kenyataannya kalian tidak mempersiapkan diri untuk menghadapinya.
8. Kalian sibuk mencari-cari kesalahan orang lain, tetapi terhadap kesalahan sendiri kalian tidak mampu melihatnya.
9. Setiap saat kalian menikmati kurniaan Allah, tetapi kalian lupa mensyukurinya.
10. Kalian sering menguburkan jenazah saudara kalian, tetapi kalian tidak mengambil pelajaran daripadanya.
"Wahai penduduk Basra, ingatlah sabda Rasulullah saw, "Berdoalah kepada Allah, tetapi kalian harus yakin akan dimakbulkan. Kalian harus tahu bahawa Allah tidak berkenan mengabulkan doa dari hati yang lalai dan main-main".
Usaha Dan Doa
Usaha tanpa doa adalah kesombongan dan doa tanpa usaha adalah kebohongan. Doa dan usaha adalah dua hal yang tidak mungkin dipisahkan. Kita tidak boleh hanya berdoa sahaja tanpa melakukan usaha semaksimal mungkin untuk mencapai tujuan kita. Kita juga tidak boleh hanya berusaha sahaja tanpa berdoa dan mengabaikan Allah sebagai penentu sama ada usaha kita berjaya atau tidak.
Sesetengah manusia terlalu sombong, tidak mahu berdoa. Seolah-olah ia dapat menghasilkan sesuatu tanpa pertolongan daripada Allah swt.

Sesetengah manusia terlalu sombong, tidak mahu berdoa. Seolah-olah ia dapat beribadah tanpa pertolongan daripada Allah swt.
Sesetengah manusia terlalu sombong, jarang berdoa. Seolah-olah kekuatan manusiawinyalah yang dapat mewujudkan seluruh asanya tanpa pertolongan daripada Allah swt.
Dan rabbmu berfirman yang bermaksud:
"Berdoalah kepada-Ku, nescaya akan Kuperkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri dari menyembah-Ku akan masuk neraka Jahanam dalam keadaan hina."
(Surah al-Mukmin ayat 60)
Al-Syaukani rahimahullah berkata, "Ayat ini memberikan pengajaran kepada kita bahawa doa adalah ibadah dan bahawa meninggalkan doa kepada Rabb Yang Maha Suci adalah sebuah kesombongan. Tidak ada kesombongan yang lebih buruk daripada kesombongan seperti ini. Bagaimana mungkin seorang hamba dapat berlaku sombong, tidak berdoa kepada Zat yang merupakan Penciptanya, Pemberi rezeki kepadanya, Yang mengadakannya dari tiada dan Pencipta alam semesta ini, Yang Menghidupkan, Yang Mematikan, Yang memberi ganjaran dan Yang memberi balasan. Maka tidak diragukan lagi bahawa kesombongan ini adalah bahagian dari kegilaan dan kekufuran terhadap nikmat Allah swt."
 Dengan berdoa bererti kita merendahkan diri kepada Allah swt. Ia merupakan sesuatu yang paling mulia di sisi Allah SWT dibandingkan yang lainnya. Allah swt sangat suka kepada hamba-Nya yang merendah diri kepada-Nya dan menunjukkan bahawa hanya Allahlah Yang Maha Berkuasa, Yang Maha Pengatur, Yang Maha Pencipta, tiada sekutu bagi-Nya.
Doa Mendekat Diri Kepada Allah
Allah sentiasa inginkan hamba-Nya dekat dengan-Nya. Pelbagai cara disediakan oleh Allah untuk mendekatkan hamba-Nya dengan-Nya. Antaranya dengan mendatangkan musibah. Tidak ada sedikitpun maksud Allah untuk menzalimi hamba-Nya kerana Maha Suci Dia dari sifat zalim.
Jangan berburuk sangka dengan Allah bahawa setiap musibah yang didatangkan kepada kita menunjukkan Allah sedang marah dan menzalimi kita. Ketika berdoa, yang paling utama adalah bukanlah dimakbulkannya doa kita atau hilangnya derita yang kita alami, tapi adalah meningkatnya kedekatan kita kepada Allah.
Betapa banyak orang yang hidup dengan limpahan harta kekayaan, jawatan yang tinggi, pujian dan penghargaan terus datang mewarnai kehidupannya. Namun semua itu tidak menjanjikan kebahagiaan kepadanya. Itu kerana dia mendapatkannya tanpa doa.
Berbeza halnya dengan orang yang mengenal Allah dalam setiap langkah kehidupannya. Itulah kekayaan yang hakiki.
Jadi hakikat doa adalah bagaimana dengan doa itu kita semakin dekat dengannya. Refleksi dari doa ini nampak pada akhlak yang tercermin dalam kehidupan harian kita yang menjadikan kita lebih baik di masa hadapan.
Ingatlah Allah itu Maha Memberi. Dia tidak lupa untuk memberi. Kita tidak minta diberi makanan, tapi Dia tidak lupa untuk memberi makanan kepada kita. Kita tidak minta diberi pakaian, tapi Dia tidak lupa untuk memberi pakaian kepada kita.
Ibnu Ata'illah menyatakan: "Bukan tujuan utama itu hanya sekadar berdoa. Tapi tujuan yang utama adalah agar engkau mengetahui adab terhadap Tuhanmu."